Tuesday, January 5, 2010

13 NGO buat laporan polis terhadap akhbar mingguan

Posted on 10:00 AM by perkasa negeri pahang

DARI kiri: Presiden IRIMM, Amir Amsaa Pitchay, Setiausaha Agong PPIM, Ma’amor Osman, Ketua Wira Perkasa Selangor, Arman Azha Abu Hanifah dan Pengerusi Melayu Bandar Petaling Jaya Utara, Latt Shahrizan Abdullah menunjukkan salinan laporan polis terhadap majalah Herald – The Catholic Weekly di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, semalam.



KUALA LUMPUR 3 Jan – Sebanyak 13 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap akhbar mingguan Gereja Katolik, Herald-The Catholic Weekly bagi menghalang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Laporan tersebut yang dihadiri kira-kira 100 orang dibuat oleh wakil NGO terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kira-kira pukul 3 petang ini.

Antara NGO itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr. Ma’amor Osman menyifatkan tindakan akhbar mingguan itu sebagai biadab dan tidak memikirkan sensitiviti pelbagai kaum di negara ini.

Menurut beliau, Allah adalah Tuhan bagi umat Islam yang dikenali melalui sifat-sifat tersendiri.

Oleh yang demikian katanya, mana-mana pihak tidak mempunyai hak untuk merujuk Allah sebagai Tuhan mereka dengan sifat-sifat bersalah dengan-Nya.

“Tindakan akhbar itu seolah-olah menjolok sarang tebuan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di IPD Sentul di sini hari ini.

Beliau juga bimbang jika ada pihak akan bangkit dengan keputusan mahkamah sivil tersebut yang dianggap menghina Islam apabila diadili oleh seorang hakim bukan Islam.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya bertindak mengikut perlembagaan negara fasal 11(4) yang secara jelasnya melarang mana-mana pihak selain Islam menggunakan kalimah Allah.

Sebagai membantah tindakan akhbar mingguan itu, beliau berkata, PPIM akan mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan masjid di sekitar ibu negara selepas solat Jumaat.

Sementara itu, Presiden IRIMM, Amir Amsaa Pitchay berkata, tindakan akhbar mingguan tersebut seolah-olah memperlekehkan kedaulatan serta mencemari kedudukan Islam.

Pada masa yang sama beliau menggesa agar polis menjalankan siasatan terhadap pengurusan dan penganjur gereja itu bagi mengenalpasti motif serta agenda mereka di sebalik penggunaan kalimah Allah.

“Saya khuatir sekiranya perkara ini dibiarkan, ia akan terus dijadikan bahan untuk memperlekeh Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Muhammad Faisal Abdul Aziz pula menegaskan sekiranya tindakan akhbar mingguan tersebut ‘dihalalkan’ maka kalimah Allah yang merupakan satu perkara agung tidak lagi menjadi hak eksklusif bagi umat Islam.

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit akhbar itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

No Response to "13 NGO buat laporan polis terhadap akhbar mingguan"