Tuesday, January 5, 2010

Mahasiswa Melayu perlu bangkit

Posted on 10:04 AM by perkasa negeri pahang

Datuk Ibrahim Ali



Mahasiswa Melayu perlu bangkit mempertahankan maruah serta hak agama dan bangsa termasuk dalam isu penggunaan perkataan Allah oleh akhbar Gereja Katolik, Herald-The Catholic Weekly.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sekarang bukan masanya bagi mahasiswa berdiam diri dalam isu itu sebaliknya membuat bantahan agar tidak mudah diperlekehkan pihak lain.

Beliau menegaskan, empat perkara iaitu agama Islam, Majlis Raja-Raja, bahasa Melayu dan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh sewenang-wenangnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

Jelasnya, jika empat perkara itu disentuh dan dipersoal, mereka yang terbabit boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

“Jadi kita perlu bangkit memperjuang, mempertahankan hak serta nasib agama dan bangsa kita (Melayu). Jangan sekali-kali kita gadaikan kepentingan agama serta bangsa kita,” katanya.

Beliau berucap membentangkan wacana bertajuk Politik Mahasiswa: Ke Mana Arahnya pada Konvensyen Mahasiswa Melayu (Konmam) 2010 di kampus Universiti Malaysia Terengganu di sini semalam.

Konvensyen sehari anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu dihadiri kira-kira 1,200 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut membentangkan wacana perdana bertajuk Mahasiswa Melayu: Cabaran dan Masa Depan.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, mahasiswa pada era kini perlu lebih kritikal dan radikal menyuarakan sebarang perkara berkaitan kepentingan bangsa dan agama seperti dilakukan mahasiswa zaman sebelum ini.

Bagaimanapun, jelasnya, segala yang disuarakan itu tidak semestinya menentang dasar kerajaan atau bersekongkol dengan pihak pembangkang.

Sebaliknya, katanya, apa yang perlu ditekankan adalah mempertahankan maruah agama dan bangsa.

“Inilah perbezaan ketara mahasiswa zaman saya dahulu dengan mahasiswa sekarang. Kalau dulu, kita menyuarakan tidak puas hati terhadap kerajaan tapi apabila tamat belajar, hampir semua daripada kami sertai kerajaan.

“Tetapi mahasiswa sekarang lain, ramai sokong kerajaan tetapi apabila keluar dari kampus mereka jadi anti-Islamik,” katanya.

Ibrahim juga berpesan kepada mahasiswa supaya tidak terlibat dalam politik kepartian ketika di kampus kerana ia akan memecahbelahkan mereka sesama sendiri.

Sekiranya perkara itu dibiar dan tidak dikawal, beliau percaya mana-mana kampus di universiti lambat laun akan ‘hancur-lebur’.

No Response to "Mahasiswa Melayu perlu bangkit"