Tuesday, January 5, 2010

Ingat sensitiviti kaum, agama

Posted on 9:54 AM by perkasa negeri pahang

MAHATHIR Mohamad bersalaman dengan pelajar yang hadir selepas membentangkan kertas kerja di Konvensyen Mahasiswa Melayu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu semalam.




KUALA TERENGGANU 2 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang dengan kemarahan umat Islam jika penggunaan perkataan Allah oleh agama lain tidak dihalang.

Katanya, apa juga alasan yang diberi, kemarahan tetap tercetus di kalangan umat Islam terhadap pihak lain yang menggunakan kalimah Allah itu.

Bagi memastikan negara kekal aman katanya, setiap orang di negara ini perlu saling mengambil kira soal sensitiviti agama dan kaum.

Jelasnya, perkataan Allah adalah spesifik bagi umat Islam sahaja manakala perkataan Tuhan atau God dalam bahasa Inggeris adalah untuk penganut agama lain.

“Saya khuatir kebenaran menggunakan perkataan Allah ini akan menimbulkan kemarahan orang Islam, sebenarnya terjemahan God dalam bahasa Inggeris adalah tuhan bukan Allah dan Allah spesifik bagi orang Islam sahaja.

“Jadi kalau mereka faham, mereka akan menggunakan perkataan Tuhan bukannya Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan Wacana Perdana: Mahasiswa Melayu – Cabaran dan Masa Depan pada Konvensyen Mahasiswa Melayu (Konmam) 2010 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT ) di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Sti Hasmah Mohd. Ali dan Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman.

Dr. Mahathir mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Gereja Katolik, Herald-The Catholic Weekly yang mendapat bantahan umat Islam ketika ini.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau juga khuatir perkataan Allah yang digunakan pihak terbabit seperti dalam bentuk tulisan pada sepanduk dan sebagainya akan menimbulkan kemarahan umat Islam.

“Kalau mereka buat sepanduk dan tulis sesuatu yang tidak mencerminkan hal sebenar mengenai umat Islam, ia akan menimbulkan kemarahan, kalau nak guna perkataan Allah kenakan syarat ketat,” ujarnya.

Ditanya sama ada kerajaan perlu merayu semula keputusan mahkamah berhubung perkara itu, Dr. Mahathir berkata:

“Itu terpulang kepada kerajaan.”

No Response to "Ingat sensitiviti kaum, agama"